Desa Jemapoh ini mengikut Sejarah adalah penempatan bagi penduduk semasa darurat dan ianya dikenali sebagai Jemapoh Kurungan. Kampong Jemapoh dikategorikan sebagai kampung baru pada era pemerintahan British di Tanah Melayu lewat tahun 1948 hingga 1963. Ia ditubuhkan sebagai satu tempat kurungan baru penduduk Melayu semasa Tanah Melayu diisytiharkan darurat dan ia termaktub dalam rancangan Briggs. Terdapat 70 rumah dalam penempatan ini.

 

  Kampung Baru Desa Jemapoh ini termasuk dalam Kampung Tersusun di Negeri Sembilan. Populasi penduduk di kampung ni dianggar berjumlah 180 orang yang terdiri daripada kaum Melayu yang menganut Agama Islam. Bancian daripada warga Kampung dan maklumat daripada pejabat daerah Kuala Pilah mengganggarkan seramai 70 orang lelaki dan 110 orang wanita yang masih tinggal di kampung ini.

 

 

KAMPUNG BARU (RANCANGAN BRIGGS)

 

 

 

 

General Sir Harold Rawdon Briggs

 

 

 

Rancangan Briggs adalah plan tentera yang perkenalkan oleh General Sir Harold Briggs pada tahun 1953 sejurus menjadi pengarah Gerakan bagi menentang kegiatan Komunis di tanah melayu. Penduduk kampung dan setinggan di pinggir hutan dipindahkan ke kawasan baru iaitu Kampong Baru melibatkan 500 000 penduduk (10% penduduk tanah melayu).

 

Strateginya ialah

 1. Memisahkan penduduk daripada PKM supaya orang cina berhenti menjadi penyokong dan pensimpati (tali barut) atau ejen komunis dan sekurang- kurangnya   pergerakkan mereka terbatas.

 

2. Menyekat bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada anggota komunis ,mereka akan kekurangan makanan dan menyebabkan mereka akan keluar dari hutan.

 

 3. Seluruh kampong dipagar dengan kawat dawai duri dengan hanya 1 atau 2 pintu keluar masuk dan dikawal ketat (perintah berkurung) oleh pasukan keselamatan.

 

 

 SEJARAH LANDASAN KERETA API KUALA PILAH-BAHAU
 
 
 

 

Sejarah lain bagi Jemapoh ini ialah pada zaman dahulu pernah menjadi tempat untuk pemunggahan barang-barang oleh kereta api dan landasannya dibina dari Kuala Pilah hingga ke Bahau dan ianya ada melalui Jemapoh dan  Juasseh. Landasan kereta api Kuala Pilah-Bahau sepanjang 13 batu (21.7 km) dibuka pada 4 April 1910. Laluan ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum Tuanku Muhammad Shah Ibni Almarhum Tuanku Antah.

 

Seperti perkhidmatan kereta api di tempat lain di Tanah Melayu pada masa itu, kereta api ini digunakan untuk membawa penumpang serta barangan komoditi seperti getah, hasil pertanian dan emas seperti hasil bijih timah yang terdapat di Parit Tinggi, Kayu Ara di Jemapoh dan beberapa hasil hutan seperti damar dan padi. Segala hasil ini dikutip dari kawasan pedalaman dan akan dibawa menggunakan kereta lembu sebelum diangkut menaiki kereta api untuk dibawa ke Bahau.

 

Perkhidmatan kereta api enjin wap ditutup menjelang Perang Dunia Kedua kira-kira tahun 1939.Pada zaman pemerintahan Jepun sekitar tahun 1941-1945, besi-besi landasan kereta api Kuala Pilah-Bahau telah dipunggah untuk dibawa ke Siam bagi membina landasan ke Burma ( kereta api maut).

 

Landasan Kereta Api Maut

 

 

Kini, di atas bekas landasan keretapi ini telah dibina jalan raya bertar yang menjadi jalan alternatif menghubungkan Kuala Pilah dan Bahau. Dapat dilihat jalan ini agak lurus kerana dibina di atas bekas jalan keretapi.

 

Walaupun perkhidmatan keretapi ini telah lama ditamatkan tetapi bangunan Setesen keretapi Kuala Pilah ini masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini. Di bawah adalah gambar bangunan setesen keretapi Kuala Pilah yang asal.

 

 

Sumber  : http://tintajambu.blogspot.my/2013/11/kebanggaan-penduduk-kuala-pilah-satu.html

           http://aliasmohdyusof.blogspot.my/2011/10/perkhidmatan-keretapi-pernah-ada-di.html

           http://ww1.utusan.com.my/utusan/Selatan/20131114/ws_04/Kereta-api-Kuala-Pilah-tinggal-kenangan